Gangguan tidur dengan tenang di waktu malam memberikan kesan yang sangat ketara terhadap tubuh badan manusia terutama buat mereka yang gemar mengamalkan tidur lewat di malam hari.
Kehidupan seakan sama seperti burung hantu, berjaga di waktu malam dan masih aktif melakukan tugasan harian, apabila matahari mula keluar menunjuk rupa, burung-burung ini akan berehat dan terbang pulang ke tempatnya. Detik 12 malam burung ini akan keluar berterbangan dan sayup-sayup kedengaran bunyi haiwan ini dari luar rumah.
Pusing kiri dan kanan, mata belum dapat lelap dan ada saja benda yang bermain di fikiran, badan pula sudah berulang kali menjerit minta direhatkan. Kalau begini terpaksa dihadapi berhari-hari, serabut otak! Adakah ini dipanggil penyakit?
Saban hari inilah yang harus dilalui oleh mereka yang tidak dapat tidur dan kesannya seperti tertidur semasa bekerja atau di dalam kelas. Malah terdapat lingkaran hitam bawah mata yang semakin ketara dan lebam kerana tidak mendapat tidur yang secukupnya.
Tidak kira sama ada lelaki atau perempuan akan mengalami sindrom gangguan tidur ini atau lebih saintifik dikenali dengan nama insomnia. Apa yang dimaksudkan dengan insomnia?
Diberi definisi di mana tidur terlalu sedikit atau tidak dapat tidur yang secukupnya untuk berasa segar di waktu pagi, lalu mengganggu emosi dan mental seseorang itu untuk melakukan aktiviti harian dengan sempurna.
Apabila dibebani dengan tugasan harian dan pergerakan menggunakan tenaga fizikal dan mental, tubuh badan juga perlu dapat rehat yang cukup. Badan manusia bukanlah robot yang boleh digunakan sesuka hati sepanjang masa. Bahkan, robot pun kena rehat!
Waktu tidur terutama di malam hari adalah penting untuk mengembalikan tenaga dan keupayaan badan untuk keluar melakukan tugasan atau aktiviti di hari keesokannya.
Tahukah anda bahawa manusia memerlukan sekurang-kurangnya enam hingga lapan jam sehari untuk tidur di waktu malam. Tanpa rehat dan tidur, badan akan berasa lemah, letih dan tidak bermaya. Silap hari bulan, jalan pun boleh terlanggar dinding!
Kebiasaannya, mereka yang mengalami gangguan tidur ini akan berasa tidak selesa apabila bangun di waktu pagi dan emosi juga turut terganggu seperti cepat marah, hilang tumpuan, perhatian kepada sesuatu tugas juga menurun dan daya ingatan menjadi lemah.
Jangka masa tidur hanyalah satu dimensi, di mana setiap orang mempunyai jangka masa tidur yang berbeza-beza. Ada orang yang hanya perlu tidur sekejap saja tetapi masih produktif dan mampu melakukan tugasan harian seperti biasa.
Tetapi ada juga yang memerlukan tidur yang lama untuk mendapatkan produktiviti untuk melakukan tugas harian. Ini bergantung kepada tahap dan kemampuan individu.
Tahap tidur orang dewasa dan kanak-kanak juga berbeza di mana kanak-kanak memerlukan tidur yang lebih lama dan memerlukan tidur yang panjang iaitu lapan hingga 10 jam sehari kerana mereka banyak bermain.
Bagi golongan dewasa pula, mereka memerlukan enam hingga lapan jam sehari untuk tidur dan warga emas memerlukan empat hingga enam jam sehari. Mereka yang kurang tidur ini terdedah kepada risiko diabetes dan penyakit jantung.
Gangguan tidur juga banyak dipengaruhi oleh umur, status pekerjaan, status perkahwinan, penggunaan dadah, rokok atau alkohol. Sebagai contoh, seorang pelajar yang mempunyai putaran waktu tidur yang tidak menentu misalnya tidur lambat di waktu malam lalu menyebabkan badan berasa lesu untuk pergi ke kelas di waktu pagi.
Insomnia berlaku apabila seseorang mengalami salah satu daripada perkara berikut iaitu kesukaran untuk tidur, kesukaran mengekalkan tidur sehingga waktu pagi, bangun terlalu awal dan mudah mengantuk pada siang hari.
Kemungkinan mereka mudah melakukan kesilapan dan berisiko dalam kemalangan dan kecederaan.
Penyakit ini boleh dirawat dengan berjumpa doktor sekiranya insomnia mengganggu urusan harian. Doktor boleh membantu mencari punca dan memberikan rawatan yang sesuai kepada pesakit.
Harus diingat agar tidak sesekali mengambil ubat tidur tanpa nasihat daripada pakar. Boleh untuk rawatan yang berkesan tetapi jika diambil dengan kerap boleh menyebabkan gangguan kesihatan dan ketagihan.
6 cara yang dapat membantu anda atasi masalah sukar tidur:
Mendengar lagu berentak perlahan

Ramai yang sering melakukan aktiviti ini terutama apabila mengalami masalah gangguan tidur. Apabila mendengar rentak irama muzik yang perlahan seperti lagu-lagu klasik dan lagu jiwang, mampu membuatkan perasaan akan rasa letih dan membuatkan kita mudah mengantuk kerana muzik ini membuai jiwa. Cuba anda pasang radio dengan lagu yang berentak perlahan di dalam kereta dan memandu, pasti perasaan mengantuk itu akan tiba tapi awas hanya boleh lakukan ketika di rumah saja.
Minum susu sebelum tidur

Kebanyakan orang terutama golongan remaja tidak suka minum susu kerana dianggap seperti kebudak-budakan, sedangkan banyak kelebihan apabila minum susu sebelum tidur. Meminum segelas susu panas sebelum tidur dapat menenangkan saraf dan melonggarkan otot-otot tegang supaya dapat memberi tidur yang lebih cepat. Cara ini dapat membantu selepas seharian penat bekerja.
Latih tidur awal
Waktu yang paling baik untuk tidur adalah sekitar jam 10 malam kerana dengan seharian aktiviti badan perlu untuk rehat bagi mengembalikan semula tenaga untuk melakukan tugasan keesokannya. Cuba pejam mata dan rehat supaya mata akan lebih segar apabila bangun dari tidur. Apabila waktu tidur kita dijaga dengan sempurna memudahkan kita untuk bangun keesokannya. Jika perlu, pasang jam loceng untuk mengejutkan anda daripada terus tidur.
Suasana tempat tidur

Keadaan tempat tidur juga memainkan peranan yang penting untuk memberikan kesan mengantuk seperti warna, kebersihan dan kurangnya bunyi bising. Kita pasti memerlukan tidur yang kualiti dalam keadaan yang tenang. Cuba bayangkan anda tidur dengan bunyi enjin kereta sebelah rumah, pasti bengang apabila keadaan bising begitu yang mengganggu masa rehat anda. Jadi suasana bilik tidur yang damai dan sunyi membolehkan anda tidur dengan tenang terutama kebersihan bilik harus dijaga. Walaupun sesibuk mana anda, kemas katil dan cadar selepas bangun pagi dan sapu sampah di dalam bilik juga penting!
Elak tidur di siang hari

Maksimum untuk tidur di siang hari hanyalah 30 minit yang sudah mencukupi untuk berehat sebentar daripada penat melakukan aktiviti harian. Apabila tidur lama pada waktu siang akan menyebabkan seseorang itu sukar tidur di malam hari. Walaupun terasa mengantuk dan letih untuk melakukan tugas, jangan ambil masa itu untuk tidur dengan tempoh yang lama dan akan menyebabkan anda akan berasa segar di malam hari dan waktu tidur anda akan menjadi tidak sekata.
Membaca buku

Memang benar membaca juga boleh memberikan kita kesan mengantuk kerana otak dan mata berjaga untuk membaca dan memahami isi buku atau majalah. Terutama yang berkaitan dengan buku rujukan pelajaran, buka saja buku selama lima minit pasti akan berasa mengantuk. Jadi membaca buku sebelum tidur membantu kita untuk mengantuk dengan lebih cepat, cubalah!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan